AGENDA

Cuaca panas, kering tidak jejas bekalan makanan negara

28 Jun 2025, 7:09 PM
Cuaca panas, kering tidak jejas bekalan makanan negara

SHAH ALAM, 28 JUN: Bekalan tanaman dan ternakan di seluruh negara masih terkawal di sebalik fenomena cuaca panas serta kering yang melanda negara ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini pihaknya tidak menerima aduan atau maklumat berkaitan isu bekalan bagi kedua-dua sektor tersebut yang terjejas teruk.

“Aduan itu ada tetapi hanya melibatkan kes terpencil dan menyeluruh…hanya aduan biasa dan ia kerana faktor cuaca sama ada ketika banjir atau kemarau.

"Setakat ini, kita dapati tidak banyak (bekalan) yang terjejas dan keadaan masih lagi terkawal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian@KPKM di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) melaporkan Monsun Barat Daya yang bermula 10 Mei lepas dijangka berlarutan hingga September depan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata industri kelapa turut berpotensi menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara seperti nanas.

Beliau berkata selain pasaran yang besar bagi kelapa tua, kelapa muda juga mempunyai permintaan tinggi termasuk dari luar negara terutamanya China.

"Bekalan kelapa tua kini giat dihasilkan terutama di Sabah. Tanaman ini dilihat mampu mencatat nilai jualan luar biasa seperti nanas yang melebihi RM1 bilion," katanya.

Sebelum ini, Mohamad dilaporkan memuji Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan sektor nanas negara dalam meningkatkan pengeluaran nanas negara sehingga melepasi RM1 bilion.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619