AGENDA

Anggota polis maut kemalangan ketika operasi cegah samseng jalanan

28 Jun 2025, 5:13 PM
Anggota polis maut kemalangan ketika operasi cegah samseng jalanan

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas semasa menjalankan penugasan Operasi Pencegahan Samseng Jalanan di ibu negara awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata mangsa L/Kpl Muhammad Amirul Aiman Muhammad Othman, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuching arah Jalan Tun Razak menghala ke Selayang pada 4.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan di laluan berselekoh sebelum melanggar besi penghadang jalan dan terjatuh ke bawah tebing.

“Seorang lagi anggota yang menunggang motosikal di belakang mangsa turut terbabas dan mengalami kecederaan ringan. Beliau kini menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian, kedua-dua anggota terbabit sedang melaksanakan tugasan pemantauan dan pencegahan aktiviti samseng jalanan di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

Mohd Zamzuri berkata Allahyarham Muhammad Amirul Aiman berkhidmat di JSPT KL sejak menamatkan latihan dan bertugas di Bahagian Risikan/Operasi selama lebih setahun.

“Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Jenazah akan dikebumikan di kampung halamannya di Ajil, Terengganu, hari ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619