AGENDA

Buli: Dua lagi pelajar MRSM Besut direman tiga hari

28 Jun 2025, 1:07 PM
Buli: Dua lagi pelajar MRSM Besut direman tiga hari

KUALA TERENGGANU, 28 JUN: Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Besut yang ditahan petang semalam direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes buli pelajar di sekolah berkenaan.

Perintah reman terhadap kedua-dua remaja berusia 15 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret di sini, untuk siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dijalankan.

Kedua-dua pelajar berkenaan ditahan 4 petang semalam selepas hadir bersama keluarga ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, lima pelajar di sekolah sama berusia 15 hingga 17 tahun yang dipercayai turut terlibat dengan kes buli, ditahan reman hingga esok.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu sebelum ini berkata setakat ini dua pelajar lelaki Tingkatan Dua di MRSM Besut mendakwa menjadi mangsa buli beberapa pelajar senior di asrama pada 11.30 malam Selasa lepas.

Seorang daripada mangsa mendakwa telah dipaksa untuk duduk dalam keadaan separa mencangkung, diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar sehingga menyebabkan mangsa mengalami sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619