Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 27 JUN: Masalah tapak sampah haram dan pembakaran terbuka di sekitar Sungai Tangkas, Kajang terus berulang sehingga menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup penduduk.
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata isu yang berlarutan sejak sekian lama itu memerlukan penyelesaian yang menyeluruh dan bukannya sekadar tindakan sementara.
“Masalah ini telah lama berlarutan. Walaupun ada usaha, setiap kali satu lokasi selesai, muncul pula di tempat lain.
“Saya merayu supaya diadakan operasi bersepadu melibatkan Majlis Perbandaran Kajang, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat serta Jabatan Alam Sekitar,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup bagi membantu pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pihak tidak bertanggungjawab.
[caption id="attachment_707378" align="aligncenter" width="812"] Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan meninjau kerja pemadaman api di tapak sampah haram yang terbakar di Sungai Tangkas, Kajang pada 26 Jun 2025. Foto Facebook Syahredzan Johan[/caption]
Menurutnya, Sungai Tangkas dan Sungai Purun dikenal pasti sebagai kawasan utama pembuangan sampah haram, namun isu sebenar melibatkan lebih banyak lokasi.
“Pihak tertentu seolah-olah sengaja membuat provokasi dengan terus membakar sampah secara terbuka. Saya telah hubungi beberapa EXCO dan hantar surat kepada Dato’ Menteri Besar untuk tindakan segera,” katanya.
Sementara itu, penduduk sekitar menzahirkan rasa kesal kerana masalah itu tidak ditangani secara berkesan walaupun aduan telah berulang kali dibuat.
Mohd Razali Ahmad, 45, berkata bau busuk dan asap tebal semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini, sehingga menjejaskan keselesaan dan kesihatan keluarga.
“Masalah ini sudah bertahun-tahun berlaku, tetapi sekarang makin kerap. Bau dan asap sangat mengganggu,” katanya.
Mohd Norhaizam Mat Zuki, 37, turut mengakui asap sering masuk ke dalam rumahnya dan menjejaskan kesihatan mereka sekeluarga.
“Setiap hari kami terpaksa menghidu bau busuk dan bau asap dari dalam rumah sehingga sering mengalami sakit tekak.
"Ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan, tetapi juga kesejahteraan penduduk. Sampah haram ini perlu dihapuskan segera,” katanya.
Sementara itu, wakil penduduk Pangsapuri Suasana Harmoni, Othman Zawawi, 40, berkata walaupun beberapa agensi sudah turun padang, namun isu ini masih tidak selesai.
“Tapak sampah haram ini bukan isu baharu, laporan telah dibuat tetapi masalah ini masih berulang. Bagaimana kehidupan kami yang hanya beberapa ratus meter dari lokasi ini.
"Ahli Parlimen Bangi dan beberapa agensi memang turun padang, namun kami masih menunggu tindakan tegas dapat dibuat segera" ujarnya.
Abdul Rahman Mahmud, 64, turut sependapat dan berkata banyak aduan telah dibuat sebelum ini, namun masih tidak membawa sebarang hasil.
"Rakan-rakan lain pernah buat laporan pembakaran terbuka di tapak itu tapi tetap juga tiada tindakan susulan dan tegas," luahnya.
Seorang lagi penduduk, Hadi Wan Nik, 62, menggesa pemantauan berterusan supaya masalah tidak berulang.
"Kami harap selalu ada pemantauan kalau tak memang akan berulang," katanya.
Media Selangor sedang mendapatkan maklum balas daripada Kerajaan Negeri berhubung tindakan susulan berhubung isu ini.