ad
BERITA UTAMA

Naskhah soal jawab kupas tafsiran politik dan dakwah Islam

27 Jun 2025, 3:22 PM
Naskhah soal jawab kupas tafsiran politik dan dakwah Islam
Naskhah soal jawab kupas tafsiran politik dan dakwah Islam

Politik dan medan dakwah perlu bergerak seiring. Namun mana-mana individu, kumpulan atau kepartian tidak wajar memonopoli wacana dan tafsiran politik Islam seolah-olah pendekatan mereka sahaja paling benar.

Penterjemah buku Umar al-Khattab terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Marwan Bukhari A Hamid menegaskan terdapat kecenderungan dalam kalangan kumpulan Islam tertentu memaksa pihak lain menerima pendapat mereka.

Tindakan itu akhirnya menyempitkan maksud pelaksanaan Islam yang bersumberkan al-Quran, sunnah, ijmak dan qias.

Walhal ia mencakupi pelbagai aspek kehidupan, tidak tertakluk kepada hukum syariah dan pembinaan negara Islam semata-mata.

“Ini masalah sebagai orang Islam, dia cakap bahasa idealistik, bahasa sempurna. Sedangkan kita tahu manusia tak sempurna, sudah tentu ada ciri-ciri itu.

“Setiap kali golongan sebegini berada di tampuk pemerintahan, dia mengulangi kesalahan juga. Dia boleh terjebak sebab mereka sendiri manusia,” katanya dalam program Bicara Semasa bertajuk Menyingkap Dialog Politik Islam.

Akuinya, usaha melaksanakan agenda Islam di negara ini boleh dilakukan sesiapa sahaja termasuk parti berasaskan bangsa, jika memahami nilai dan prinsip Islam sebenar.

Sebagai contoh, dasar Islam Hadhari yang diperkenalkan mantan Perdana Menteri dan Presiden Umno Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004. Walaupun pada awalnya dikecam hebat, kini rakyat menerima manfaat menerusi program j-QAF (Jawi, al-Quran, Bahasa Arab, fardu ain) di sekolah rendah.

“Kalau begitulah Islam, maka kita kata, mana-mana ahli politik yang ada wawasan sedemikian, dia boleh lakukan dalam mana-mana parti pun sebenarnya. Tidak terhad dengan satu parti semata-mata.

“Kita nak beritahu masa orang lain, boleh nampak (kebaikan) benda itu, tapi masa sakan bergaduh soal politik, tiba-tiba menafikan (usaha) pihak lain,” katanya.

Bentuk soal jawab

Teguran-teguran itu, antara 53 soalan dibahaskan secara terperinci dalam bab kedua buku Dialog Politik Islam: Menelusuri Jalan Kesederhanaan, karya penggerak utama kumpulan Pondok Siyasah itu.

Idea naskhah berkenaan juga mendapat sokongan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan yang juga seorang penulis.

Bab kedua bertajuk Islamis dan Pelaksanaan Syariah mengandungi 20 soalan atau kira-kira 38 peratus daripada keseluruhan kandungan buku tersebut.

Antara perkara dibincangkan termasuk pemilihan ciri-ciri calon pemimpin, melurus tanggapan tentang jemaah Islam, Malaysia negara Islam atau tidak, hukum hudud dan qisas, isu kafir-mengkafir serta konsep khalifah dan hakimiyah.

Selain itu, empat lagi bahagian membicarakan Asas-asas Politik Islam iaitu Islam dan Demokrasi Hubungan Muslim dan Bukan Muslim dan Hubungan Antarabangsa.

Diusahakan beliau sejak setahun lalu, naskhah setebal 232 muka surat itu ditulis secara santai. Namun ia sarat dengan rujukan dan pandangan ulama muktabar dan kontemporari bagi memperkukuh hujah mengenai politik Islam.

Uniknya, naskhah ini disusun dalam bentuk soal jawab. Soalan-soalan dihimpun melalui dialog dan bengkel anjuran Pondok Siyasah, kiriman WhatsApp serta perbincangan rasmi dan tidak rasmi dengan rakan-rakan.

“Saya tidak mendakwa jawapan saya ini sebagai muktamad. Mungkin ada orang pandangan lain, itu biasa. Ini wacana politik Islam antara wacana terbuka dalam Islam.

“Disebabkan itu saya namakan (buku ini) dialog. (Kalau) tak setuju, tidak ada masalah,” katanya menjelaskan pemilihan tajuk itu selepas menerima maklum balas pelbagai pihak.

Walaupun setiap bahagian saling berkait, Marwan tidak mengkhususkan bab tertentu untuk dibaca. Sebaliknya, beliau memberi kebebasan kepada pembaca untuk memilih tajuk atau soalan sesuai dengan minat atau keperluan mereka.

“Apa yang dia nak jelajah lebih, atau ada benda yang dia tak nak bersetuju dengan saya, carilah. Tiada masalah,” kata graduan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.