AGENDA

Fungsi NSRC diperluas, tubuh rangkaian respon 24 jam tangani jenayah siber

26 Jun 2025, 8:09 PM
Fungsi NSRC diperluas, tubuh rangkaian respon 24 jam tangani jenayah siber

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Kerajaan bersetuju memperluas skop fungsi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) agar merangkumi semua bentuk jenayah siber, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga berkata kerajaan bersetuju menubuhkan rangkaian respons 24 jam yang digerakkan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Pengukuhan NSRC juga akan dilaksanakan menerusi gabungan kepakaran tempatan, penyelarasan rentas agensi dan pertambahan sumber manusia,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara bagi meneliti langkah segera memperkukuh NSRC.

Anwar berkata mesyuarat itu turut dimaklumkan bahawa terdapat hampir 4.7 bilion percubaan penipuan dalam talian direkodkan sejak 2022 dan menyifatkan ia satu angka yang membimbangkan selain menuntut tindakan tegas serta bersepadu dilaksanakan.

Perdana Menteri juga berkata Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia akan menyegerakan pelaksanaan struktur baharu NSRC termasuk memperjelas peranannya agar mudah difahami dan diakses oleh rakyat.

Beliau berkata pendekatan no wrong door turut diguna pakai bagi memudahkan proses aduan dan bantuan.

“Saya menggesa semua agensi untuk bertindak lebih proaktif dan berpandangan jauh dalam memberikan perlindungan menyeluruh kepada rakyat.

“Pada masa sama, kesiapsiagaan benteng siber negara mesti terus dipertingkat baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619