ad
AGENDA

Terperdaya tawaran sindiket pelaburan, pegawai kewangan rugi lebih RM4 juta

25 Jun 2025, 8:30 PM
Terperdaya tawaran sindiket pelaburan, pegawai kewangan rugi lebih RM4 juta

GEORGE TOWN, 25 JUN: Polis mengesahkan seorang pegawai kewangan sebuah syarikat perundingan kerugian RM4.17 juta selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud dalam talian baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata wanita berusia 60 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut semalam, mengadu diperdaya sindiket berkenaan.

“Mangsa memaklumkan pada awal Mac lepas telah melihat satu iklan pelaburan saham itu di aplikasi Facebook dan menekan pautan dipaparkan.

“Selepas itu, mangsa berhubung dengan seorang suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp yang kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata suspek menjanjikan pulangan lumayan berdasarkan jumlah modal dilaburkan dalam tempoh masa singkat, dan mangsa diminta memuat turun satu aplikasi melalui pautan diberikan untuk mendaftar keahlian serta membuat pelaburan.

Beliau berkata mangsa telah membuat 76 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank milik syarikat berbeza dengan jumlah keseluruhan RM4.17 juta, antara 10 Mac hingga 13 Jun lepas sebelum menyedari dirinya ditipu.

“Mangsa sedar ditipu apabila tidak dapat membuat pengeluaran keuntungan yang tertera dalam aplikasi itu, malah diminta membuat bayaran tambahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.