SHAH ALAM, 25 JUN: Semua sistem saliran termasuk parit dan longkang sekitar bandar raya ini diselenggara mengikut jadual bagi memastikan air mengalir lancar.
Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sentiasa bersiap siaga dan memastikan kemudahan saliran berada dalam keadaan baik serta bebas daripada halangan seperti sampah sarap.
“Bagaimanapun, terdapat juga sistem saliran yang bukan di bawah seliaan MBSA kerana dimiliki agensi lain. Justeru, kita menggesa semua pihak berkaitan agar memastikan saliran masing-masing diselenggara dengan baik bagi mengelak berlakunya banjir,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MBSA hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kejadian banjir kilat baru-baru ini yang melanda beberapa kawasan rendah sekitar Shah Alam dan Klang, termasuk Taman Sri Muda, Kota Kemuning dan Jalan Kebun, akibat hujan lebat berterusan sejak jam 4 pagi.
Lebih 100 penduduk di sekitar Kota Kemuning terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Aster bagi mendapatkan perlindungan.
Pada 2021, Taman Sri Muda antara lokasi yang ditenggelami banjir besar ekoran taburan hujan luar biasa mencecah 300 hingga 400 dalam tempoh 24 jam.
Justeru pelbagai langkah diambil termasuk pemasangan tiga unit pam sebagai tambahan kepada tiga pam sedia ada yang berkapasiti 5,100 liter sesaat serta berupaya mengepam keluar lima kali ganda air.
Bagi perancangan jangka panjang, sebanyak empat ban baharu dibina selain menaik taraf dua kolam takungan dan membuat pengorekan saliran utama dijangka berjalan hingga Januari 2027.
Kapasiti kolam takungan Taman Sri Muda pula ditingkat daripada 140,000 kepada 221,000 meter persegi selain menyediakan kolam takungan Kemuning pada kapasiti 26,000 meter persegi.
Kerja pengorekan juga akan dibuat mulai Oktober hingga Disember tahun ini bertujuan meningkatkan lagi kapasiti saliran ke kolam Taman Sri Muda.