AGENDA

Piala Asean bawah 23 tahun: Harimau Muda sasar separuh akhir

25 Jun 2025, 3:29 PM
Piala Asean bawah 23 tahun: Harimau Muda sasar separuh akhir

PETALING JAYA, 25 JUN: Skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan meletakkan sasaran mara ke pusingan separuh akhir pada Kejohanan Piala ASEAN B-23 2025 di Jakarta, Indonesia dari 15 hingga 29 Julai depan.

Ketua jurulatih Mohd Nafuzi Zain berkata bagi merealisasikan hasrat itu, skuad Harimau Muda dituntut untuk meraih tiga mata penuh dalam setiap perlawanan peringkat Kumpulan A bertemu Filipina pada 15 Julai, diikuti Brunei (18 Julai) dan Indonesia (21 Julai).

“Untuk situasi sekarang, kita lebih memfokuskan kepada satu perlawanan demi satu perlawanan, terutamanya daripada perlawanan yang penting apabila bertemu dengan Filipina. Selepas itu dengan Brunei dan cabaran yang agak berat apabila berdepan tuan rumah Indonesia.

“Jadi kita meletakkan layak ke separuh akhir itu dan kena melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu. Di separuh akhir itulah memberi ruang dan peluang kita untuk ke final,” katanya pada sidang media pengumuman senarai 30 pemain yang akan menyertai latihan pusat skuad Harimau Muda di sini hari ini.

Terdahulu, dalam sidang media itu, sebanyak 19 daripada 26 pemain yang dihimpunkan selepas perlawanan ‘Elit’ semalam telah dipanggil menyertai kem yang akan bermula pada 1 Julai depan.

Pemain itu menyertai 11 pemain sedia ada skuad B-23 kebangsaan, antaranya Zulhilmi Sharani dan Muhammad Faris Danish Mohd Asrul dari Johor Darul Ta'zim II (JDT II) serta Abdul Rahman Daud dan Muhammad Alif Izwan Yuslan dari Selangor FC.

Dalam pada itu, Mohd Nafuzi berharap pengalaman pemain yang dipanggil, kebanyakannya pernah bermain dalam Liga Super dapat membantu skuad itu merealisasikan hasrat berkenaan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir yang dijadualkan pada 25 Julai, manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan final pada 29 Julai.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619