Oleh Rafiqah Rauf
SHAH ALAM, 25 JUN: Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menafikan dakwaan banjir yang melanda Taman Sri Muda berpunca isu proses aliran air kumbahan.
Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan sistem paip pembetungan di kawasan itu telah beroperasi
lebih 30 tahun, dibina mengikut perancangan teknikal terperinci berdasarkan pelan pembangunan perumahan.
"Laluan pelepasan air terawat dari loji tersebut merupakan laluan asal yang sejak dari awal pembinaan dan tiada perubahan fungsi dilakukan," maklumnya.
Pasukan operasi IWK mendapati punca utama isu limpahan air dalam longkang dan parit berpunca kurang penyelenggaraan yang baik.
"Longkang dan parit berkaitan didapati penuh dengan sampah, mendapan pasir dan juga akar pokok yang telah menutupi saluran longkang berkenaan."
"Keadaan ini menyebabkan aliran air kumbahan terawat dari Loji Rawatan Kumbahan (LRK) berdekatan, serta air hujan dari kawasan perumahan berkenaan tidak dapat mengalir dengan lancar," katanya.
Tambah IWK, kedudukan Taman Sri Muda yang rendah serta berhampiran dengan Sungai Klang turut menyumbang kepada risiko banjir yang berulang di kawasan tersebut.
IWK berkata, hasil semakan dan siasatan berkenaan telah dimaklumkan kepada Ahli Majlis Zon 9, Ramu Nadarajan serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Penafian ini dibuat IWK susulan laporan SelangorKini tentang gesaan Ramu yang meminta IWK mempercepat proses pengalihan aliran air kumbahan ke lokasi yang lebih sesuai kerana didakwa menjadi punca banjir di taman perumahan tersebut.