ad
SELANGOR

KDEBWM nafi semua lori kompaktor digantung permit

24 Jun 2025, 4:56 PM
KDEBWM nafi semua lori kompaktor digantung permit

OLEH AMIRAHWANI RAHIMI

SHAH ALAM, 24 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya semua lori kompaktor miliknya digantung atau dibatalkan permit bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Syarikat itu menjelaskan hanya sebuah lori dikenakan tindakan penggantungan permit oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), bukannya membabitkan keseluruhan kenderaan seperti yang didakwa.

“KDEBWM telah menghubungi APAD bagi tujuan pengesahan dan pengemaskinian maklumat syarikat.

“Hasil semakan mendapati tiada lori kompaktor milik KDEBWM terbabit dengan pembatalan lesen atau permit seperti didakwa,” menurut kenyataan hari ini.

Menurut syarikat itu lagi, penggantungan terhadap lori berkenaan juga telah ditamatkan lebih awal selepas APAD berpuas hati dengan pematuhan garis panduan yang ditetapkan.

Lori tersebut dibenarkan kembali beroperasi seperti biasa sejak 16 April 2025.

KDEBWM turut memberi jaminan bahawa isu berkenaan tidak menjejaskan operasi kutipan dan pembersihan sisa pepejal di seluruh Selangor.

“Kami komited memastikan semua operasi berjalan lancar serta mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa,” kata syarikat itu.

Orang ramai juga dinasihatkan tidak mudah percaya dengan maklumat tidak sahih yang tular di media sosial dan digalakkan merujuk terus ke saluran rasmi syarikat bagi sebarang pertanyaan.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Talian Aduan Setempat KDEBWM di 019-375 9592 / 019-375 3980 atau WhatsApp 019-274 2824.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.