AGENDA

Iran tegaskan 'tiada persetujuan' gencatan senjata dengan Israel setakat ini

24 Jun 2025, 10:33 AM
Iran tegaskan 'tiada persetujuan' gencatan senjata dengan Israel setakat ini

WASHINGTON, 24 JUN: Menteri Luar Iran pada awal Selasa menegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang persetujuan mengenai gencatan senjata antara Iran dan Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Seperti yang telah ditegaskan berkali-kali oleh Iran: Israel yang memulakan peperangan terhadap Iran, bukan sebaliknya.

"Sehingga kini, tiada sebarang ‘persetujuan’ berkaitan gencatan senjata atau pemberhentian operasi ketenteraan,” kata Abbas Araghchi menerusi hantaran di platform X.

Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini bahawa Israel dan Iran telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata secara “penuh dan menyeluruh” di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.

“Namun, sekiranya rejim Israel menghentikan pencerobohan haramnya terhadap rakyat Iran selewat-lewatnya 4 pagi waktu Tehran, kami tiada hasrat untuk meneruskan serangan balas selepas itu.

“Keputusan muktamad berhubung pemberhentian operasi ketenteraan kami akan dibuat kemudian,” kata Araghchi.

Beliau berkata operasi ketenteraan Iran untuk “menghukum Israel atas pencerobohan yang dilakukan” diteruskan sehingga saat terakhir iaitu 4 pagi waktu tempatan (0030 GMT).

“Bersama seluruh rakyat Iran, saya merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera kita yang berani, sentiasa bersiap sedia untuk mempertahankan tanah air tercinta hingga titisan darah terakhir, dan yang telah memberi tindak balas terhadap setiap serangan musuh sehingga ke detik terakhir,” katanya.

Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar pada Isnin, menandakan peningkatan ketara dalam ketegangan susulan serangan AS ke atas tiga tapak nuklear Iran pada Ahad.

-BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619