AGENDA

Perancis tekad iktiraf negara Palestin, gesa bantuan kemanusiaan dibenar masuk

23 Jun 2025, 11:00 PM
Perancis tekad iktiraf negara Palestin, gesa bantuan kemanusiaan dibenar masuk

LONDON, 23 JUN: Menteri Luar Perancis menegaskan bahawa negaranya tetap bertekad untuk mengiktiraf negara Palestin “dalam gerakan kolektif”, sambil menegaskan tiada apa yang patut membuat dunia lupa apa yang berlaku di Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap kepada media sebelum Mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Jean-Noel Barrot turut mengulangi gesaan Perancis agar bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk segera ke Gaza serta pembebasan semua tawanan.

Beliau turut memaklumkan bahawa menteri luar negara-negara anggota EU akan membincangkan Perjanjian Persatuan atau “Association Agreement” antara Israel dan blok itu, sambil merujuk laporan EU yang menunjukkan bahawa Israel berkemungkinan melanggar komitmen hak asasi manusia di bawah Artikel 2 perjanjian itu.

“Kami tetap bertekad untuk mengiktiraf negara Palestin melalui satu gerakan kolektif yang melibatkan semua pihak berkepentingan dan bertujuan membuka jalan ke arah penyelesaian politik bagi konflik Palestin-Israel,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares turut menyeru agar Perjanjian Persatuan EU-Israel digantung.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas itu dijangka turut membincangkan isu perang Rusia-Ukraine, hubungan dengan China, serta perkembangan semasa di Timur Tengah.

- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619