KUALA LUMPUR, 23 JUN: Semua rakyat Malaysia di Jordan berada dalam keadaan baik dan tidak terkesan dengan serangan yang berlaku di Iran, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa situasi semasa di negara berkenaan adalah stabil meskipun ketegangan meningkat susulan dari serangan-serangan yang berlaku di Iran pada awal pagi.
“Pihak berkuasa Jordan turut mengetatkan arahan keselamatan demi kepentingan keselamatan orang awam.
“Seterusnya, kejadian kejatuhan beberapa serpihan objek yang tidak dikenali di Amman dan Azraq baru-baru ini juga adalah jauh dari kawasan penempatan para pelajar Malaysia,” menurut kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook kedutaan.
Pihak kedutaan akan terus memantau situasi terkini di Jordan dan memaklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukan kepada pihak Kedutaan melalui e-mel [email protected] atau talian +962-6-5902400 (waktu pejabat) /+962785902400 (pegawai bertugas).
Ketegangan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara di beberapa lokasi di seluruh Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, menyebabkan Tehran bertindak balas.
Pada Ahad, Amerika Syarikat melakukan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear Iran yang mencetuskan ketakutan dan kecaman di seluruh dunia.
- BERNAMA