ad
AGENSI

Pemikiran songsang ancam akidah, umat Islam diingatkan berwaspada

23 Jun 2025, 4:46 PM
Pemikiran songsang ancam akidah, umat Islam diingatkan berwaspada

SHAH ALAM, 23 JUN: Umat Islam dinasihatkan tidak terpengaruh dengan idea songsang memperjuangkan liberalisme dan pluralisme agama atas nama kebebasan atau hak asasi manusia yang disalurkan di media sosial, penulisan serta forum terbuka.

Mufti Selangor Dato' Setia Dr Anhar Opir berkata hukum Islam yang sebenar perlu dijadikan sebagai rujukan, bukan berkiblatkan logik akal semata-mata kerana dibimbangi akan menjejaskan akidah.

Tegasnya, pemikiran liberalisme dan pluralisme agama adalah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar dan boleh membawa kepada kesesatan akidah serta kecelaruan dalam masyarakat muslim.

“Jabatan Mufti Negeri Selangor berdiri teguh bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan menjunjung kasih menyokong titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menzahirkan kekecewaan dan dukacita Baginda dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

“Yang menyentuh pemakaian fatwa bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia) atas faktor ia sebuah pertubuhan, persatuan, syarikat atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, jabatan itu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman yang dibuat Mahkamah Persekutuan sebagai institusi kehakiman tertinggi dalam sistem perundangan negara.

"Seperti yang sedia maklum bahawa keputusan tersebut tidak membatalkan atau menafikan keabsahan fatwa terhadap individu beragama Islam serta larangan ke atas mana-mana individu Islam daripada menganut fahaman pluralisme dan liberalisme, atau apa-apa fahaman lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.

"Keputusan Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama yang diwartakan pada 31 Julai 2014 telah melalui tatacara pengeluaran fatwa yang menepati kehendak hukum syarak dan prinsip-prinsip maqasid Syariah yang antaranya menjaga agama (hifz ad-din), menjaga akal (hifz al-'aql ) dan menjaga keturunan (hifz an-nasl),” katanya.

Menurutnya, Jabatan Mufti Negeri Selangor juga sentiasa komited menyokong usaha pihak berwajib, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan dalam mengawasi dan menegur mana-mana ajaran, fahaman atau ideologi menyeleweng.

“Ini termasuk yang membawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang murni.

“Semoga Allah terus memelihara negara ini dalam keamanan, kekuatan iman serta menjauhkan kita semua daripada fitnah dan kesesatan,” katanya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sebelum ini menggesa Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) supaya tidak lagi menggunakan perkataan ‘Islam’ dalam sebarang bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan pertubuhan tersebut.

Baginda menegaskan penyalahgunaan istilah ‘Islam’ dalam nama dan kandungan penerbitan organisasi itu boleh mengelirukan masyarakat Islam.

Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun memutuskan fatwa Selangor mengenai pemikiran liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam hanya terpakai kepada individu bukannya pertubuhan.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman majoriti berkata ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan buatan atau tiruan seperti sebuah syarikat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.