AGENDA

KPN nafi terlibat politik, mahu pengamal media lapor berita sahih

23 Jun 2025, 2:02 PM
KPN nafi terlibat politik, mahu pengamal media lapor berita sahih

PUTRAJAYA, 23 JUN: Ketua Polis Negara (KPN) baharu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang kegiatan politik sepanjang hampir empat dekad perkhidmatannya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Selama 38 tahun saya bersama pasukan PDRM, saya tidak pernah terlibat dalam mana-mana parti politik," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Berhubung kesilapan penerbitan infografik mengaitkannya dengan parti politik sebelum ini, Mohd Khalid berkata perkara itu diterima dengan hati terbuka memandangkan media terbabit telah meminta untuk bertemu beliau.

"Insya-Allah saya akan bertemu dengan mereka dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan media berkenaan, mendengar pandangan dan memberi idea mengenai perkara perlu dilaksanakan pada masa akan datang.

Sementara itu, Mohd Khalid turut meminta semua pengamal media supaya memberikan laporan terbaik dan sempurna serta tidak lari daripada perkara yang sepatutnya dilaporkan.

"Saya berharap hubungan rapat perlu diteruskan antara polis dan wartawan kerana ia menjadi pokok utama untuk kita memberikan laporan terbaik bukan sahaja kepada PDRM tetapi bagi semua agensi kerajaan dan juga Kerajaan Madani," katanya.

Pada 21 Jun lepas, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Fuziah Salleh dilaporkan berkata Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli PKR, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti itu.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619