ad
AGENDA

Tiga cedera, bas persiaran terbabas ketika turun dari Genting Highlands

22 Jun 2025, 10:35 AM
Tiga cedera, bas persiaran terbabas ketika turun dari Genting Highlands

SHAH ALAM, 22 JUN: Seorang pemandu dan dua penumpang sebuah bas persiaran cedera apabila kenderaan itu terbabas lalu merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 12 Jalan Genting-Bentong di sini, malam tadi.

Pemandu berusia 54 bersama seorang penumpang tempatan berumur 74 dan seorang penumpang warga asing mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan sekitar jam 7.45 malam itu, lapor portal Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung insiden itu sebelum pasukan bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika bas membawa 25 penumpang itu sedang dalam perjalanan menuruni bukit dari Genting Highlands menuju ke Serdang, Selangor.

"Hasil siasatan awal mendapati bas terbabit dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, pemandu bas dan dua penumpang wanita dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut, manakala penumpang lain dilaporkan tiada mengalami sebarang kecederaan.

"Tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.