SHAH ALAM, 21 JUN: Tourism Selangor mempergiat usaha termasuk melancarkan geran Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) bernilai RM300,000 bagi lebih 30 acara pelancongan separuh tahun kedua.
Ketua pegawai eksekutifnya berkata program Hos Komuniti Selangor turut diaktifkan dengan melantik 50 hos komuniti di Kuala Selangor dan Sabak Bernam bagi mengukuhkan pelancongan luar bandar.
“Kami yakin lebih banyak program pelancongan secara kolaboratif akan terbentuk," kata Chua Yee Ling dalam kenyataan semalam.
"Kerjasama awam dan swasta bersama jenama seperti Sony Malaysia, Batik Air, Cuckoo dan Avis Malaysia juga membuka jalan kepada pelaksanaan kempen pelancongan berimpak tinggi."
[caption id="attachment_700262" align="aligncenter" width="769"] Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling bercakap bercakap kepada Media Selangor selepas Forum Membina Masa Depan Berdaya Tahan: Teknologi Hijau ketika pameran Minggu Selangor di Pavilion Malaysia dalam Ekspo Dunia Osaka 2025, Jepun pada 9 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menurutnya, kemudahan pelancongan bakal diperluas, selain mempergiat inisiatif pemasaran digital dan memperkenal pengalaman pelancongan inovatif bagi mengekalkan momentum TMS2025.
Mengulas kedudukan Selangor sebagai negeri paling ramai dikunjungi pelancong domestik tahun lalu, Yee Ling berkata pencapaian itu merupakan kejayaan negeri selama empat tahun berturut-turut.
Beliau menjelaskan jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 2023, dengan kehadiran sebanyak 27.6 juta pelawat tempatan.
Menurutnya, antara faktor utama adalah pengenalan produk dan pengalaman pelancongan baharu seperti SplashMania Waterpark, Skyline Luge, The Hillock Hulu Tamu dan Beacons Resort.
“Pihak berkuasa tempatan, pengusaha pelancongan dan rakan industri turut memainkan peranan penting dalam mengaktifkan inisiatif ini, sekali gus mewujudkan ekosistem pelancongan yang dinamik dan terus menarik kehadiran pelawat tempatan serta antarabangsa,” katanya.
Menerusi Survei Pelancongan Domestik Malaysia yang diterbitkan Jabatan Perangkaan, Selangor paling kerap dikunjungi dengan 34.5 juta pelawat domestik, diikuti Kuala Lumpur (27 juta) dan Perak (21.8 juta).
Tahun lalu, Kerajaan Selangor menyasarkan lapan juta pelancong tempatan dan luar negara melawat negeri itu sempena TMS2025 dengan sasaran transaksi berjumlah RM11.7 bilion.