AGENDA

Ketua Polis Negara tekad guna AI lonjak kecekapan lawan jenayah moden

20 Jun 2025, 9:09 PM
Ketua Polis Negara tekad guna AI lonjak kecekapan lawan jenayah moden

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang baharu dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) berazam untuk mempertingkatkan keupayaan dan kredibiliti pasukan, terutama dalam menangani isu jenayah rentas sempadan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi terkini.

Beliau berharap langkah itu akan dapat membawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah yang lebih cemerlang, selari dengan perubahan pemodenan pasukan itu, terutama yang melibatkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Untuk kita melaksanakan tugas kepolisan pada masa yang akan datang, pelaksanaan dan penggunaan AI menjadi isu yang saya rasa perlu diketengahkan, supaya pasukan kita lebih maju pada masa yang akan datang dan dapat menangani apa juga ancaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berakhirnya majlis Paluan Berundur KPN di Pulapol Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Mohd Khalid dilantik sebagai KPN ke-15 berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Razarudin, pada majlis Serah Terima Tugas, disaksikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta pegawai kanan PDRM.

Sementara itu, Mohd Khalid menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kerana memperkenankan pelantikannya sebagai KPN ke-15, dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang tanggungjawab itu.

“Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri yang sentiasa memimpin pasukan PDRM menuju ke arah yang lebih cemerlang.

“Sekalung tahniah dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada KPN ke-14,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619