SHAH ALAM, 20 JUN: Lebih 100 penduduk di sekitar Kota Kemuning terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Aster selepas kawasan itu dilanda banjir kilat awal pagi tadi.
Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preakas berkata antara kawasan terjejas termasuklah Taman Bukit Kemuning, Taman Greenville dan penempatan tanah lot di sekitar Bukit Kemuning.
“Hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan air naik sehingga paras pinggang tetapi sekarang situasi semakin terkawal dan air sudah mulai surut.
“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sedang menyelaras bantuan kepada mangsa terlibat dan banjir ini diklasifikasi sebagai bencana tahap satu,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_706403" align="alignnone" width="787"] Wakil rakyat Kota Kemuning S Preakas (kiri) membantu mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Aster susulan banjir kilat melanda kawasan itu sejak pagi 20 Jun 2025. Foto Facebook S Preakas[/caption]
Beliau menjelaskan kejadian banjir kilat kerap berlaku di kawasan berkenaan disebabkan kedudukan tanah yang rendah serta limpahan air dari Lebuhraya Shah Alam (KESAS).
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri dan Persekutuan mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir yang telah dibincangkan sebelum ini.
“Saya minta sangat kerajaan beri perhatian di kawasan ini kerana kejadian banjir ini bukan kali pertama dan saya minta percepatkan gerak kerja untuk projek ini,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat berterusan sejak jam 4 pagi turut menyebabkan beberapa kawasan rendah lain di Shah Alam dan Klang termasuk Jalan Kebun dan sekitar Kota Kemuning dinaiki air.