AGENDA

Sindiket edar dadah guna peket minuman segera tumpas, enam ditahan

20 Jun 2025, 2:28 PM
Sindiket edar dadah guna peket minuman segera tumpas, enam ditahan

JOHOR BAHRU, 20 JUN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan peket minuman segera selepas menahan enam individu dan merampas pelbagai dadah bernilai RM1.28 juta dalam satu operasi di sekitar bandar raya ini pada 12 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata empat lelaki tempatan dan seorang lelaki Singapura serta seorang wanita Thailand berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

"Hasil siasatan mendapati seorang daripada ditahan iaitu lelaki tempatan berusia 31 tahun merupakan dalang sindiket," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket dipercayai aktif sejak April lepas dan menggunakan sebuah pangsapuri di bandar raya ini sebagai tempat membungkus dan menyimpan dadah.

Sindiket berkenaan turut menyasarkan pasaran tempatan menerusi penjualan peket berharga antara RM150 hingga RM300.

Beliau berkata dadah dirampas dalam operasi itu terdiri daripada 7,669.5 gram serbuk ekstasi, 13.6 gram ketamin dan lapan gram pil erimin 5.

“Turut disita dua kereta iaitu Lexus RC200T F Sport dan Perodua Alza, wang tunai RM3,000 serta barang kemas bernilai RM8,365,” katanya.

Raub berkata hasil ujian urin mendapati kesemua suspek positif methamphetamine, manakala semakan rekod lampau mendapati dua suspek tempatan mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

Kesemua suspek direman selama 12 hari bermula 13 Jun lepas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619