SHAH ALAM, 20 JUN: Lebih RM10,000 ganjaran wang tunai ditawarkan kepada peserta Cabaran Joran Ampang Jaya anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ahad ini.
MPAJ memaklumkan acara yang akan diadakan di Tasik Pandan Perdana dianjurkan bagi memperkenalkan tasik berkenaan sebagai salah satu tarikan dan lokasi eko-pelancongan di Ampang Jaya.
“Juara pertandingan bakal membawa pulang RM4,000, naib juara (RM1,000), tempat ketiga (RM700) manakala RM50 setiap seorang turut ditawarkan buat pemenang tempat keempat hingga ke-70.
“Semua spesies ikan dipertandingkan kali ini. Yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan 400 penyertaan awal akan turut menerima T-shirt percuma,” katanya menerusi kenyataan.
Acara dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPAJ dan Airfour Classic itu akan bermula jam 8 pagi dengan kaunter pendaftaran akan dibuka pada 21 Jun bermula 3 petang hingga 7 malam.
Untuk keterangan lanjut hubungi urus setia di talian 013-2667011 (Encik Syukur).