SHAH ALAM, 19 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan namun tidak bersependapat dengan perkara yang memutuskan fatwa bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai kepada Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) sebaliknya hanya kepada individu.
Pengerusinya Dato’ Salehuddin Saidin berkata keputusan tersebut dibimbangi membuka ruang kepada kumpulan tidak bertanggungjawab untuk berselindung disebalik nama Islam dalam sebuah institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat bertentangan dengan Islam.
“Mais menzahirkan rasa dukacita kerana keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut secara tidak langsung telah mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan hukum syarak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Salehuddin menambah, Mais menyokong penuh penghakiman bertentangan (dissenting judgment) Hakim Dato’ Abu Bakar Jais yang menyatakan bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berhubung fatwa adalah bawah kuasa Mahkamah Syariah.
Menurutnya, pendekatan penghakiman bertentangan itu selaras dengan hujah Mais yang merujuk kepada konsep 'orang buatan' atau 'artificial person' atau 'syakhsiyyah i’itibariyyah' dalam kehakiman dan jurisprudens Islam yang membolehkan tindakan diambil terhadap sesebuah syarikat atau pertubuhan.
Sehubungan itu, katanya, Mais menegaskan komitmennya untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri serta sokongan institusi Raja bagi tujuan memperkasa perundangan sedia ada.
“Mais memberi jaminan bahawa Mais bersama-sama dengan badan penguatkuasa agama di Selangor akan sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam ini dapat dibanteras,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan fatwa Selangor mengenai pemikiran liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam hanya terpakai kepada individu bukannya pertubuhan.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman majoriti berkata ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan buatan atau tiruan seperti sebuah syarikat.
Pada 31 Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor telah mengisytiharkan bahawa SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta SKMM menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.