ad
PBT

MPKS: Persidangan strata bantu capai bandar mampan

19 Jun 2025, 5:01 PM
MPKS: Persidangan strata bantu capai bandar mampan

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Persidangan Pengurusan Strata Kelas Pertama anjuran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) membuka ruang dialog konstruktif berkaitan pemilikan bangunan bertingkat dalam kalangan pemain industri.

Yang dipertua MPKS berkata program bertujuan memperkukuh kompetensi di kalangan pemaju, pengurus hartanah dan pihak berkuasa tempatan melaksanakan tadbir urus kediaman berstrata lebih profesional mengikut Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

“Peredaran masa telah menjadikan kehidupan strata adalah sebahagian daripada gaya hidup masa kini penduduk Malaysia.

“MPKS melihat terdapat keperluan untuk memberi pendedahan dan pemahaman dengan menyentuh pelbagai dimensi strategik serta kritikal dalam landskap hartanah moden,” kata Mohamad Hanafe Basri ketika berucap.

Hanafe menambah persidangan juga merupakan inisiatif bagi merealisasikan matlamat pembangunan mampan (SDG) 11 iaitu bandar dan masyarakat mampan.

“Selaras dengan aspirasi global ini, MPKS tampil proaktif mengambil langkah holistik dengan menganjurkan persidangan ini sebagai platform strategik untuk memperkasa pengetahuan pemain industri serta komuniti.

“Selain itu, ia untuk melahirkan persekitaran kediaman yang bukan sahaja selesa, tetapi turut menepati ciri-ciri kemampanan dan ketahanan jangka panjang,” ujarnya lagi.

Persidangan yang dianjurkan kali ketiga itu sejak 2023 di Parkroyal Collection disertai 140 peserta dari seluruh negara dihadiri pelbagai agensi antaranya wakil PBT, Badan Pengurusan Bersama (JMB), peguam dan pemaju hartanah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.