ad
AGENDA

LUAS ambil tindakan segera siasat pencemaran Sungai Kapar Kechil

18 Jun 2025, 8:55 PM
LUAS ambil tindakan segera siasat pencemaran Sungai Kapar Kechil

SHAH ALAM, 18 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil tindakan segera berhubung aduan pencemaran air di Sungai Kapar Kechil, Kampung Perepat, Kapar dengan menjalankan pemeriksaan dan pensampelan air petang ini.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata pemeriksaan dari jam 2.30 hingga 4.30 petang di kawasan hilir sungai itu mendapati air sungai kelihatan sedikit kebiruan.

"Semakan di bahagian hulu sungai ketika siasatan tidak menemui sebarang punca pencemaran.

"Berdasarkan pemerhatian dan maklumat, kejadian tersebut disyaki berpunca daripada aktiviti pembuangan secara one-off menggunakan lori,"katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, LUAS telah mengambil sampel air dari lokasi aduan serta kawasan hulu dan hilir untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis.

"Pemantauan susulan juga akan terus dijalankan dari semasa ke semasa di lokasi aduan bagi memastikan tiada kejadian berulang," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar sentiasa peka dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau insiden pencemaran sumber air kepada pihak berkuasa dengan segera.

"Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan sungai dan sumber air di Selangor kekal bersih, selamat dan lestari untuk kesejahteraan Bersama," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.