AGENDA

Situasi makin tegang, Wisma Putra arah rakyat Malaysia keluar dari Iran

17 Jun 2025, 7:42 PM
Situasi makin tegang, Wisma Putra arah rakyat Malaysia keluar dari Iran

PUTRAJAYA, 17 JUN: Semua rakyat Malaysia yang berada di Iran diseru agar meninggalkan negara itu dengan serta-merta susulan situasi keselamatan yang semakin tegang selepas tindakan agresif Israel terhadap Iran.

Dalam kenyataan pada Selasa, Kementerian Luar memaklumkan bahawa keadaan di Iran kekal tidak menentu dan berisiko untuk bertambah buruk tanpa sebarang amaran awal.

“Berikutan keadaan yang semakin merosot, semua rakyat Malaysia di Iran digesa supaya meninggalkan negara itu dengan segera menggunakan apa jua kaedah yang tersedia,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran berada dalam keadaan selamat dan telah dinasihatkan supaya keluar dari negara itu tanpa berlengah.

“Kedutaan akan terus menyediakan bantuan konsul yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka. Keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan Kementerian,” katanya.

Bagi sebarang kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran di alamat: No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb; nombor telefon: +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602 atau e-mel: mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com.

Kementerian turut mengaktifkan Bilik Gerakan bermula 17 Jun, dan ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kementerian untuk maklumat lanjut di talian +603 8887 4570 atau e-mel: dutyofficer@kln.gov.my.

Konflik antara Iran dan Israel semakin memuncak sejak Jumaat lepas susulan serangan udara tanpa provokasi oleh Israel ke atas wilayah Iran yang dilaporkan mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan ahli sains.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619