AGENSI

MBI: Jual modul pembelajaran PTRS tidak beretika, tindakan tegas akan diambil

17 Jun 2025, 5:24 PM
MBI: Jual modul pembelajaran PTRS tidak beretika, tindakan tegas akan diambil
MBI: Jual modul pembelajaran PTRS tidak beretika, tindakan tegas akan diambil

Oleh Ufairah Tarmidzi

SHAH ALAM, 17 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyifatkan tindakan individu yang menjual modul pembelajaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di platform e-dagang, Shopee sebagai jelik dan tidak beretika.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menegaskan pihaknya memandang serius penularan iklan penjualan modul PTRS itu selain tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

“Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab, amat jelik dan sangat jahat kerana individu tersebut sanggup mengambil keuntungan daripada bahan pembelajaran percuma yang ditaja Kerajaan Negeri.

“Saya berharap pihak Shopee dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku yang mengambil kesempatan supaya mereka tidak lagi mengaut hasil keuntungan daripada pihak yang melaksanakan program ini,” katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

[caption id="attachment_697233" align="alignleft" width="500"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Tambah Ahmad Azri, MBI juga sudah berhubung dan membuat laporan kepada Shopee Malaysia terhadap pengiklanan dan penjualan modul PTRS tersebut pada 14 Jun lalu dan masih menunggu keputusan laporan berkenaan.

Semalam, SelangorKini melaporkan tular pengiklanan dan penjualan modul PTRS di platform e-dagang, Shopee yang berharga antara RM5 hingga RM9.90 bagi subjek teras dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah untuk tingkatan empat dan lima.

Susulan itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor mengecam tindakan menjual modul PTRS itu yang disifatkan sebagai satu bentuk eksploitasi pendidikan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM11 juta bagi melaksanakan PTRS 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 160,000 pelajar.

Program tuisyen secara percuma itu memfokuskan bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan bagi pelajar tingkatan empat dan lima dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) atau prestasi pelajarannya sederhana atau lemah.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619