AGENDA

Menteri: Kediaman tertakluk Akta Pemajuan Perumahan dikecuali SST

16 Jun 2025, 10:02 AM
Menteri: Kediaman tertakluk Akta Pemajuan Perumahan dikecuali SST

PUTRAJAYA, 15 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesahkan bahawa hartanah kediaman yang dijual di bawah Akta Pemajuan Perumahan (HDA) dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menterinya Nga Kor Ming berkata pengecualian SST ditentukan oleh sama ada hak milik tanah atau tujuan penggunaan harta itu.

“Ini bermakna semua bangunan kediaman termasuk pangsapuri servis atas hak milik komersial dikecualikan daripada SST, selagi ia bertujuan untuk kegunaan kediaman dan terletak di bawah bidang kuasa HDA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan rundingan dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sebagai respons kepada maklum balas pihak berkepentingan industri yang menyuarakan kebimbangan mengenai rangka kerja SST yang dikemas kini.

Nga berkata isu cukai bertingkat ditangani melalui pengecualian perniagaan ke perniagaan (B2B), yang memastikan cukai perkhidmatan dikenakan pada satu peringkat sahaja.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) bahan binaan asas seperti simen, agregat dan pasir, kekal tertakluk kepada 0 peratus cukai jualan.

Daripada 400 kod tarif yang digunakan untuk bahan binaan, cukai jualan telah dinaikkan untuk lapan sahaja, meliputi barangan seperti tong, kaca berlamina dan jaring.

Ini akan menjejaskan hanya dua peratus daripada jumlah kod tarif bahan binaan.

Nga berkata kontraktor boleh memilih untuk mengasingkan kos bahan daripada caj perkhidmatan, membolehkan cukai perkhidmatan dikenakan kepada perkhidmatan pembinaan sahaja.

“KPKT kekal komited untuk penglibatan berterusan dengan MOF dan pemegang kepentingan utama lain untuk memastikan pelaksanaan dasar-dasar cukai yang adil, menjaga kepentingan pembeli rumah, dan menyokong sektor perumahan yang stabil dan mampan.

“Selaras dengan aspirasi MADANI, KPKT kekal komited untuk memelihara kemampuan perumahan dan melindungi kepentingan pembeli rumah di bawah rangka kerja SST yang disemak semula,” katanya.

Kerajaan akan melaksanakan semakan sasaran bagi kadar Cukai Jualan dan pengembangan skop Cukai Perkhidmatan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini, bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas cukai.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619