ad
BUDAYA

Di Bawah Matahari

15 Jun 2025, 8:30 AM
Di Bawah Matahari

Oleh Abdullah Hussaini

Dari kejauhan kelihatan kereta warna merah darah ikan itu menyalakan lampu isyarat. Aku bagaikan sudah berada di dalam kereta tersebut, menolak dengan jari telunjuk, membelok dan mendengar detakan lampu isyarat. Aku sudah dapat rasakan sejuk pendingin hawanya dan bau pewangi perisa vanila. Telefon bimbit dibuka, tertera nama pemandu: Hafrizal Annaml. Budak muda lagi. Selang beberapa ketika kereta itu bergerak melepasiku. Padahal aku sudah mengibar-ngibarkan tangan. Argh! Budak ini butakah? Kereta itu berhenti agak jauh. Adakah dia akan mengundur? Tidak ada sebarang pergerakan.

Matahari betul-betul di atas kepalaku. Seluruh tubuhku berbahang, bermandi peluh. Kepalaku berdenyut-denyut. Aku berlari anak mendapatkan kereta dan segera membuka pintu. Budak Hafrizal itu meminta maaf, katanya dia tidak perasan. Apa lagi, aku hamburkan segala kemarahan, aku carutkan apa yang biasa kucarutkan apabila berlaku hal sebegini. Hafrizal meminta maaf lagi. Tentu dia bimbang aku akan memberi penilaian yang buruk nanti. Kau sabar, sampai saja di setinasi nanti aku aku letak satu bintang, akan aku bebel dan kompelin di ruangan ulasan. Masuk akal saja untuk manusia marah, itu tandanya kita masih siuman, kan? Cuba bayangkan, di bawah panas begini, sudahlah keretanya berhenti jauh, tidak mahu pula mengundur sehingga aku yang terpaksa berlari anak. Munasabah bukan untuk aku naik angin?

Kereta ini tidak ada sebarang bau wangi, pendingin hawanya pun perlahan, tidak berasa langsung. Aku tercari-cari kalau ada tisu disediakan untuk mengesat peluh yang berjuraian turun dari kepala. Tidak ada. Terpaksa aku seka dahiku dengan lengan. Aku hembuskan nafas berat, dan mengeluh seraya menyandar. Aku perasan, budak itu sempat mengerling dari cermin belakang. Cepat-cepat dia alihkan pandangan sebaik menyedari aku melihatnya juga. Dia memandu perlahan meskipun jalan raya tidak sesak. Aku melihat jam pada telefon bimbit. Ada temu janji yang perlu dilunaskan dalam masa setengah jam. Dr Fadzil, mantan pensyarah kanan di UGM dan kini merupakan ahli lembaga pengarah sebuah GLC besar, mahu berjumpaku setelah beberapa kali menolak. Aku membawa cadangan syarikatku untuk satu projek yang bakal menguntungkan kedua-dua belah pihak. Kalaulah kerjasama ini menjadi, bonus tahun ini tentu besar, dan keutuhan syarikat tempat aku bekerja pasti terjamin pada tahun-tahun mendatang.

Tak boleh laju sikit, kataku kepada Hafrizal. Baik, katanya. Kereta dipecut sedikit namun beberapa minit kemudian pemanduan merangkak-rangkak. Marahku yang sudah menipis kembali membakar. Trafik di depan sesak! Segala jenis kenderaan penuh di kiri kanan. Aku terbayangkan Pineapple Upside Down dan Longan Soya Panna Cotta yang akan aku pesan di restoran mewah pilihan Dr Fadzil. Ah, nyaman sekali! Tetapi bayangan tersebut segera hilang dilapisi gambaran Dr Fadzil yang sedang resah menanti, melihat jam sebelum bangun dari meja makan lantas keluar. Kalaulah kamu laju sikit tadi, kataku kepada Hafrizal. Budak itu meminta maaf sekali lagi. Ya Rabbi, macam mana kalau aku lambat? Apa kata Dr itu nanti? Tentulah dia menganggap aku ini cemerkap orangnya. Kalaulah dia kenal aku lebih awal, dia akan tahu bahawa akulah manusia paling menepati waktu. Baik mesyuaratkah, waktu kerjakah atau urusan temu janji, tidak pernah aku lewat walau seminit, bahkan, selalunya aku sampai awal. Bukan sekali dua aku disidai orang sampai satu hingga dua jam. Manusia di negeri ini memang tak reti menghormati waktu.

Cuaca di luar mula redup, dan aku pula tidak senang duduk. Gelisah mencucuk-cucuk hatiku. Aku perasan wajah Hafrizal juga berubah resah. Nah, baru sekarang kau rasa resah? Tidak ada gunanya, kawan. Kau akan terus memandu dan mendapat upah, sedang aku akan kehilangan peluang besar ini yang datang entah berapa kali sahaja dalam hidup. Hujan turun tiba-tiba tanpa diundang. Jalan sudah tidak sesesak tadi. Tepat seperti jangkaan, aku tiba lewat lima minit. Aku terus memakinya dengan segala sumpah seranah seperti muntahan peluru mesingan. Habis segala marah yang bersarang dalam hati kulampiaskan. Mukanya pucat lesi. Biarkan, rasakan kegelisahan itu. Memang wajar kau rasa bersalah kerana bakal menghilangkan rezekiku.

“Aku akan viralkan engkau!” kataku sebelum mengatup pintu.

Hujan kian lebat. Aku berlari masuk ke dalam bangunan. Sebahagian diriku basah. Pelayan di muka restoran bertanya namaku seterusnya mengunjuk jari ke arah sebuah meja. Aku lihat masih kosong, ertinya Dr Fadzil juga lewat. Aku segera duduk dan sementara menanti hidangan pembuka selera tiba, aku meneguk air masak. Sedap rasanya, tentu daripada jenama mahal. Sementara menanti kedatangan Dr Fadzil, aku membuka telefon dan sedia untuk menulis kejadian malang yang menimpaku hari ini. Aku sudah menangkap layar segala maklumat dari aplikasi e-hailing yang digunakan tadi, aku menulis urutan peristiwa kejadian tadi, aku sertakan foto pemandu tadi juga, kemudian aku kemas kini di semua saluran media sosial yang aku ada.

Dr Fadzil belum juga sampai. Aku mencari nama Hafrizal Annaml di internet dan segala jenis media sosial. Tidak banyak maklumat yang aku temui. Dia bekas pelajar di sebuah kolej, mengambil jurusan kejuruteraan. Di laman X miliknya yang kali terakhir dikemas kini dua tahun lalu, ada gambarnya yang masih bertubuh gempal, ada gambar bersama tunangnya, dan ada juga gambar bersama neneknya di wad hospital. Kemudian Dr Fadzil sampai. Kami berbincang secara ringkas kerana dia mengejar waktu dan meminta diri dahulu. Aku menikmati hidangan bersendirian. Pertemuan itu tidak memberikan sebarang hasil buat masa ini.

Aku pulang ke rumah menaiki MRT. Sepanjang perjalanan aku terlelap dan telefonku terpadam. Tatkala sampai di apartmen, hujan masih mencurah-curah. Di rumah, selepas mandi dan sedia untuk tidur, aku memeriksa telefon. Begitu banyak sekali notifikasi. Sangkaku, tentulah sebab kemas kini tentang kejadian malangku hari ini, tetapi bukan. Sebaliknya kemas kini tersebut dibalas dengan hantaran lain yang berupa pautan ke portal berita. Aku buka dan membaca laporan tentang seorang pemandu e-hailing yang meninggal dunia dek kemalangan ngeri. Keretanya dilenyek treler, tubuhnya hancur bersepai. Aku lihat foto mangsa: Hafrizal. Sepanjang malam itu seluruh tubuhku panas dibakar matahari.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.