AGENDA

Pejalan kaki tercampak ke sungai selepas dirempuh kereta

13 Jun 2025, 11:04 PM
Pejalan kaki tercampak ke sungai selepas dirempuh kereta

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Seorang pejalan kaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai akibat dirempuh sebuah kereta yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Ipoh menghala Bulatan Kepong dekat sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kemalangan kira-kira 11.45 pagi itu, melibatkan dua kereta dan seorang pejalan kaki.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun dari arah PPR Batu Muda hilang kawalan dan melanggar bahagian hadapan kanan sebuah Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam berusia 43 tahun yang datang dari arah Batu Kentomen.

“Kereta Nissan Sylphy itu kemudian merempuh seorang pejalan kaki sebelum terjunam ke bawah jambatan dan tersangkut di celahan konkrit serta saluran paip besi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata pemandu Nissan Sylphy mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut, manakala mangsa pejalan kaki yang identitinya masih belum dikenal pasti disyaki terjatuh ke dalam sungai serta masih belum ditemukan.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Sentul, Jinjang dan Hang Tuah bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan JSPT Kuala Lumpur.

Mohd Zamzuri berkata siasatan lanjut mendapati kereta yang dipandu lelaki warga asing terbabit bukan miliknya dan polis sedang mengesan pemilik sebenar kenderaan terbabit untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan lelaki warga Bangladesh akan ditahan untuk siasatan lanjut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619