AGENDA

PM: Malaysia hantar wakil ke persidangan PBB bincang isu Palestin

13 Jun 2025, 4:03 PM
PM: Malaysia hantar wakil ke persidangan PBB bincang isu Palestin

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Malaysia akan menghantar wakil bagi menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu depan, yang bertujuan membincangkan penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menyokong usaha Perancis dan Arab Saudi yang mengambi inisiatif untuk mengadakan persidangan berkenaan.

“Mana-mana negara berhak hadir untuk kemukakan pandangan mereka, terutamanya mengenai keadilan bagi Palestin dan Gaza, itu pandangan kita.

“...dan saya menyokong inisiatif Putera Mahkota Arab Saudi (merangkap Perdana Menteri Arab Saudi) Mohammed bin Salman dan Presiden Perancis Emmanuel Macron bagi inisiatif ini (adakan persidangan bagi mencari penyelesaian isu Palestin),” katanya ketika ditemui pemberita usai menunaikan solat Jumaat di Masjid Azzubair Ibnul Awwam di Cheras hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media bahawa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengeluarkan amaran keras kepada kerajaan di seluruh dunia supaya tidak menghadiri persidangan PBB itu.

Laporan itu antara lain menyatakan bahawa Washington menegaskan mana-mana negara yang mengambil pendirian menentang Israel akan dianggap bertentangan dengan dasar luar Amerika Syarikat dan mungkin berdepan akibat diplomatik.

Selain itu, laporan sama turut menyatakan Amerika Syarikat menzahirkan penolakan terhadap sebarang pengiktirafan unilateral terhadap negara Palestin.

Sementara itu ditanya sama ada beliau sendiri akan menghadiri persidangan berkenaan yang dijadual berlangsung bermula 17 hingga 20 Jun ini, Anwar berkata, “saya sendiri, mungkin tidak”.

Dilaporkan, Perancis dan Arab Saudi adalah penganjur utama persidangan berkenaan, dengan Paris dikatakan sedang mempertimbangkan untuk mengiktiraf Palestin secara unilateral.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619