AGENDA

Dua remaja maut, motosikal dirempuh kereta ketika berhenti di simpang lampu isyarat

12 Jun 2025, 9:47 AM
Dua remaja maut, motosikal dirempuh kereta ketika berhenti di simpang lampu isyarat

KUANTAN, 12 JUN: Dua remaja perempuan maut selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kereta ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail, di Temerloh, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata kemalangan kira-kira pukul 11 malam itu mengorbankan penunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, dan pemboncengnya, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, masing-masing berusia 18 tahun.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan dari arah Mentakab menuju ke Bulatan Bukit Angin. Ketika berhenti di lampu isyarat yang sedang merah, sebuah kereta Perodua Bezza dipercayai tidak memperlahankan kenderaan dan telah melanggar bahagian belakang motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini untuk bedah siasat pagi ini.

Sementara itu, Mazlan memaklumkan pemeriksaan ke atas kereta terbabit, menemukan paket plastik disyaki mengadungi dadah syabu dan heroin yang dianggarkan bernilai lebih RM6,000.

Sehubungan itu, pemandu kereta berusia 38 tahun yang beralamat di Kepong, Kuala Lumpur itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619