AGENDA

Lebih 2,700 kanak-kanak Palestin kekurangan zat makanan serius

12 Jun 2025, 8:33 AM
Lebih 2,700 kanak-kanak Palestin kekurangan zat makanan serius

ISTANBUL, 12 JUN: Lebih 2,700 kanak-kanak Palestin dikesan mempunyai masalah kekurangan zat makanan yang serius di Gaza dalam keadaan sekatan menyeluruh oleh Israel ke atas wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

“Krisis ini mencapai tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini apabila penduduk Gaza terus kelaparan,” menurut UNRWA dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Lebih 2,700 kanak-kanak di bawah usia lima tahun dikesan mengalami kekurangan zat makanan serius pada akhir Mei,” menurut kenyataan itu.

Agensi PBB itu turut memaklumkan, hanya satu pusat perubatan masih beroperasi sebahagiannya di utara Gaza akibat kekurangan bekalan bahan api yang serius.

“Akses kemanusiaan mesti dipulihkan dengan segera,” kata UNRWA.

Menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel terus melancarkan serangan ganas ke atas Gaza sejak Oktober 2023, yang meragut hampir 55,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Sejak awal Mac, Israel menutup semua lintasan sempadan Gaza kepada bantuan kemanusiaan, menyebabkan agensi bantuan memberi amaran tentang risiko kebuluran terhadap 2.4 juta penduduk Gaza.

November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga sedang berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan yang dilancarkannya ke atas wilayah itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619