SHAH ALAM, 11 JUN: Enam usahawan bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mencipta kejayaan tersendiri apabila berjaya menembusi pasaran Jepun menerusi produk masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas berkata mereka merupakan antara 30 peserta Program Pecutan Eksport (EAP) yang dijalankan dengan kerjasama SME Corporation Malaysia (SME Corp).
“Mereka bukan sahaja berpeluang menyertai Ekspo Dunia Osaka 2025, malah turut melakar penampilan dalam rangkaian pasar raya utama seperti Don Quijote serta saluran HOREKA (hotel, restoran dan katering) di Jepun.
“Ia merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam menjadikan usahawan Malaysia sebagai pemain utama dalam ekonomi global,” katanya menerusi kenyataan.
Enam perniagaan itu adalah Nims Adeliciousz Sdn Bhd, Nourish Nova Sdn Bhd, TFN Brownies Sdn Bhd, The Skinny Bakers Sdn Bhd, MFaez Food Sdn Bhd dan Aducktive Sdn Bhd.
[caption id="attachment_705220" align="alignnone" width="1071"] Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas (pakai kot) bersama Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Dato’ Nainy menyempurnakan upacara simbolik pelepasan enam produk usahawan ke Jepun di Galeria SA Sentral pada 9 Jun 2025. Foto Facebook PKNS[/caption]
Isnin lalu, Mahmud diiringi Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Dato’ Nainy menyempurnakan upacara simbolik pelepasan produk usahawan terbabit ke Jepun di Galeria SA Sentral, di sini.
Dalam pada itu, Mahmud menyifatkan pencapaian tersebut merupakan kemuncak kepada perjalanan eksport yang dirintis sejak 2024, hasil kerjasama strategik antara PKNS dan SME Corp.
Jelasnya, program EAP dirangka khusus bagi memberi tumpuan kepada pembangunan intensif usahawan berpotensi tinggi yang digilap daripada Program Market Accelerations for Export & Retail Product (MEXPRO).
“Sepanjang pelaksanaan program, usahawan dibimbing secara menyeluruh merangkumi aspek pensijilan, penambahbaikan produk serta strategi pemasaran bersesuaian untuk menembusi pasaran Jepun yang terkenal dengan piawaian ketat dan keperluan pengguna yang sofistikated,” katanya.