ad
AGENDA

Pakar: Wajibkan bas pasang kamera papan pemuka, tali pinggang keselamatan

10 Jun 2025, 4:44 PM
Pakar: Wajibkan bas pasang kamera papan pemuka, tali pinggang keselamatan
Pakar: Wajibkan bas pasang kamera papan pemuka, tali pinggang keselamatan

SHAH ALAM, 10 JUN: Pemasangan kamera papan pemuka dalam pengangkutan awam seperti bas perlu diwajibkan demi keselamatan penumpang, selain sebagai bukti siasatan jika berlaku kemalangan.

Pakar Psikologi Sosial Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Prof Dr Rozmi Ismail berkata kerajaan perlu menitikberatkan nyawa termasuk mewajibkan pemasangan tali pinggang keselamatan penumpang.

"Kalau boleh contohi tatacara operasi piawai (SOP) seperti syarikat penerbangan. Kena ketatkan peraturan, tidak boleh sambil lewa kerana ia melibatkan nyawa.

[caption id="attachment_705054" align="alignleft" width="300"] Pakar Psikologi Sosial Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Prof Dr Rozmi Ismail[/caption]

"Syarikat bas itu sendiri pun perlu bertindak memasang kamera papan pemuka pada semua bas seliaan mereka supaya jika berlaku kemalangan kita boleh melihat semula bukti daripada situ.

"Soal keselamatan dalam bas pun perlu dititikberatkan terutama berkaitan pemakaian tali pinggang keledar," katanya kepada Media Selangor.

Mengulas berhubung nahas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam, Prof Dr Rozmi berkata kerajaan perlu segera menaik taraf jalan Gerik berikutan kerap berlaku kemalangan.

Jelasnya, jalan berkenaan sudah berusia lebih 50 tahun dan ia seolah sudah lama tidak diselenggara sehingga kerap berlakunya kemalangan meragut lebih ribuan nyawa saban tahun.

"Ada tiga faktor berlakunya kemalangan iaitu keadaan jalan raya, kelalaian manusia dan kenderaan itu sendiri yang mungkin tidak diperiksa terlebih dahulu.

"Pandangan peribadi saya sememangnya sangat sedih kehilangan bakal pemimpin negara. Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan mengambil serius utamakan ciri keselamatan pada pengangkutan awam termasuk jalan raya," katanya.

Nahas yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi semalam itu menyebabkan 15 pelajar UPSI maut apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Tragedi itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang MPV jenis Perodua Alza.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.