AGENDA

Cabaran global punca Petronas kurangkan tenaga kerja, bukan isu Petros

7 Jun 2025, 6:00 PM
Cabaran global punca Petronas kurangkan tenaga kerja, bukan isu Petros

KUCHING, 7 JUN: Langkah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengurangkan tenaga kerjanya berpunca daripada cabaran global dan tidak berkaitan dengan isu syarikat minyak nasional itu dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata proses penstrukturan itu perlu dilakukan di tengah-tengah penurunan harga minyak mentah ketika ini.

Menurutnya, beliau juga merancang bertemu dengan Petronas untuk mendapatkan butiran terperinci mengenai proses penstrukturan semula itu.

"Itu (cabaran global) adalah sebab mengapa Petronas perlu menyusun semula keseluruhan operasinya.

"Saya merancang untuk bertemu dengan mereka (Petronas) untuk mendapatkan taklimat mengenai perkara itu dan bagi memastikan jumlah pemberhentian pekerja dapat dikurangkan, jika tidak dapat dielakkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ibadah korban Aidiladha di Masjid Taman Hussein, di sini, hari ini.

Pada 5 Jun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilaporkan berkata syarikat minyak nasional itu akan mengurangkan 10 peratus tenaga kerjanya dalam mendepani keadaan operasi yang mencabar, terutamanya disebabkan penurunan harga minyak mentah.

Beliau berkata bilangan kakitangan yang terlibat dalam proses itu dianggarkan berjumlah kira-kira 5,000 orang dan mereka yang terbabit akan dimaklumkan secara berperingkat tahun depan.

Pada 21 Mei lepas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mencapai persefahaman dengan menandatangani deklarasi bersama berhubung perkara yang melibatkan Petronas dan Petros.

Menurut deklarasi bersama itu, Petronas akan meneruskan fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipannya yang diamanahkan kepada syarikat tersebut di Malaysia, di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan peraturannya.

Sebarang perjanjian antara Petronas dan anak-anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan gas asli cecair (LNG) daripada operasi huluan hingga eksport LNG kepada pihak asing kekal tidak terjejas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619