AGENSI

Mais gesa mangsa kes tipu haji buat laporan, waspada pakej murah, percuma

7 Jun 2025, 5:00 PM
Mais gesa mangsa kes tipu haji buat laporan, waspada pakej murah, percuma

Oleh AIDA NYAN

SHAH ALAM, 7 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggesa umat Islam lebih berwaspada terhadap penipuan pakej haji susulan kemurkaan yang dizahirkan Duli Yang Maha Mulia DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji di Malaysia.

Titah tegas Baginda dikeluarkan selepas insiden membabitkan lebih 80 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat menggunakan visa pelancong ke Tanah Suci baru-baru ini.

Penipuan itu dipercayai dilakukan sindiket tidak bertanggungjawab yang menawarkan pakej haji murah sekali gus memperdaya mangsa yang sanggup menggadai aset demi menunaikan rukun Islam kelima.

Lebih menyedihkan apabila pihak yang mengeksploitasi itu adalah dari kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi.

Pengerusi Mais, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin dalam kenyataan hari ini menegaskan Mais menyokong penuh titah Baginda dan menggesa mangsa tampil membuat laporan polis serta menyerahkan maklumat lengkap agar siasatan dan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak terbabit.

Orang ramai juga dinasihatkan menyemak status agensi melalui laman rasmi Lembaga Tabung Haji (LTH), berwaspada dengan pakej terlalu murah atau percuma serta segera melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Mais menegaskan hanya agensi pelancongan berlesen dan diiktiraf boleh menguruskan ibadah haji dan umat Islam diminta memastikan segala urusan haji dibuat melalui saluran sah bagi menjaga kesucian ibadah dan mengelak menjadi mangsa penipuan.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619