AGENDA

Dua mangsa bot terbalik masih belum ditemui, tiga mayat dihantar ke HTAR

7 Jun 2025, 1:38 PM
Dua mangsa bot terbalik masih belum ditemui, tiga mayat dihantar ke HTAR

SHAH ALAM, 7 JUN: Dua mangsa yang masih hilang dalam tragedi bot terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, semalam, masih belum ditemui setakat ini.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata susulan itu operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa yang dipercayai suami isteri itu akan diteruskan.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dengan kerjasama agensi sahabat,” lapor Berita Harian hari ini.

Abdul Muhaimin turut memaklumkan mangsa dipercayai sedang menguji pandu bot yang baru dibaiki itu, sebelum tragedi berkenaan berlaku petang semalam.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan mayat tiga individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang maut dalam kejadian itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini.

Semalam, media melaporkan tiga termasuk seorang kanak-kanak maut selepas bot dinaiki terbalik dalam kejadian di sekitar perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang .

Kejadian 5 petang itu melibatkan enam individu warga tempatan berusia tiga hingga 50 tahun, dengan dua mangsa yang dipercayai suami isteri dilaporkan hilang, manakala seorang mangsa diselamatkan oleh nelayan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619