AGENDA

Tiga termasuk kanak-kanak maut, suami isteri hilang bot terbalik

7 Jun 2025, 8:23 AM
Tiga termasuk kanak-kanak maut, suami isteri hilang bot terbalik

SHAH ALAM, 7 JUN: Tiga termasuk seorang kanak-kanak maut selepas bot dinaiki terbalik dalam kejadian di sekitar perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang di sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kejadian 5 petang itu melibatkan enam individu warga tempatan berusia tiga hingga 50 tahun.

Beliau berkata dua lagi mangsa yang dipercayai suami isteri dilaporkan hilang, manakala seorang mangsa diselamatkan oleh nelayan.

Pencarian dua mangsa yang hilang diteruskan oleh pasukan bomba dengan melakukan kerja penyelaman pagi ini.

“Mangsa yang maut dan telah ditemukan ialah Darren Gan, kanak-kanak berusia tiga tahun yang juga anak kepada pasangan yang hilang serta Cheu Son Hin, 50, masing-masing dijumpai dalam ruang hadapan bot.

“Turut terkorban Fong Yong Sen, 29, iaitu rakan kepada pasangan berkenaan, manakala seorang lagi mangsa Chang Yan Qin Alvin, 17, terselamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, kedua-duanya berasal dari Klang Utama.

Abdul Muhaimin berkata hasil siasatan awal mendapati bot berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik.

Terdahulu, beliau berkata pihaknya mengaktifkan operasi dan menyelamat panggilan pada 5.16 petang selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu.

Operasi digerakkan segera dengan penyertaan aset Maritim Malaysia dan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sokongan bot penumpang berhampiran lokasi.

“Bot yang terbalik berjaya ditunda ke jeti terapung Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor sebelum operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan kira-kira 8 malam,” katanya.

Semalam, tular video memaparkan bot berkenan ditunda bot lain selepas terbalik di kawasan berkenaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619