AGENDA

Operasi khas Aidiladha JPJ tumpu kepada penunggang motosikal

6 Jun 2025, 1:30 PM
Operasi khas Aidiladha JPJ tumpu kepada penunggang motosikal

KOTA BHARU, 6 JUN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menumpukan penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (Ops HRAA) 2025 bermula 4 Jun lepas hingga 10 Jun ini.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata dalam tempoh dua tahun ini, sebanyak 1,132,140 notis kesalahan dikeluarkan kepada penunggang motosikal dengan 848,885 notis pada 2024 dan 283,255 dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

“Fokus utama penguatkuasaan kali ini adalah menerusi Ops Khas Motosikal iaitu terhadap penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Tiga kesalahan utama dikenal pasti ialah tiada lesen memandu dengan 301,774 kes, lesen kenderaan motor tamat tempoh (251,886) dan tiada insurans kenderaan (233,819),” katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops HRAA di sini malam tadi.

Beliau berkata lebih 2,000 anggota penguat kuasa digerakkan di seluruh negara sepanjang tempoh operasi itu.

Muhammad Kifli berkata statistik berkenaan menggambarkan masih banyak kesalahan dilakukan penunggang motosikal dan JPJ akan sentiasa mempertingkat penguatkuasaan kerana golongan berkenaan adalah penyumbang kemalangan terbesar iaitu 65 peratus daripada kadar kemalangan di negara ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata bagi membantu orang ramai menyelesaikan saman tertunggak, JPJ menawarkan pembayaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata RM150 bagi tiga jenis notis saman tertentu yang akan berakhir pada 30 Jun ini.

“Notis terlibat ialah Saman AwAS (Saman 53A) iaitu dari Oktober 2018 hingga kini, Notis 114 (Panggilan Temu Siasat) 2024 dan ke bawah dan Notis 115/JPJ (P23)–Permintaan Butir-Butir Pemandu–2024 dan ke bawah.

“Setakat semalam, sebanyak 374,024 saman dibayar melibatkan kutipan keseluruhan RM56.18 juta dengan pecahan iaitu Saman AwAS sebanyak 347,326 bernilai RM52,167,900; Notis 114 (21,538 saman bernilai RM3,236,140) dan Notis 115 (5,160 saman bernilai RM774,000),” katanya.

JPJ katanya menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang melunaskan saman mereka pada kadar istimewa itu sebelum tempoh tamat pada 30 Jun ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619