SHAH ALAM, 6 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyeru semua masjid dan surau yang memperoleh kebenaran solat Jumaat melaksanakan solat hajat khas susulan penghakiman Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) yang mencabar peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor di Mahkamah Persekutuan.
Seruan solat hajat itu dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk menunaikannya selepas selesai solat Jumaat hari ini dan minggu depan.
Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata solat hajat adalah bagi memohon agar Allah memelihara kesucian agama Islam dan memberi kebaikan serta pertolongan kepada Mahkamah Persekutuan dalam membuat keputusan.
“Gagal di peringkat Mahkamah Rayuan, SIS Forum Malaysia telah membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam usaha untuk mencabar keabsahan fatwa tersebut.
“Kes rayuan berkenaan akan diputuskan di Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun depan,” katanya menerusi surat kepada pengurusan masjid dan surau terlibat bertarikh 4 Jun lalu.