ad
AGENSI

Taman Aero Selangor pacu visi Malaysia jadi hab kargo udara utama Asean

5 Jun 2025, 9:00 PM
Taman Aero Selangor pacu visi Malaysia jadi hab kargo udara utama Asean
Taman Aero Selangor pacu visi Malaysia jadi hab kargo udara utama Asean

SEPANG, 5 JUN: Pembangunan Taman Aero Selangor (SAP) mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kargo udara utama di rantau Asia Tenggara (Asean), menurut menteri pengangkutan.

Anthony Loke Siew Fook berkata pembangunan industri baharu itu akan memenuhi hasrat kerajaan untuk menjadikan KLIA Aeropolis sebagai pusat penerbangan dan logistik serantau yang strategik serta berdaya saing.

“Pembangunan taman aero ini sangat relevan untuk menjadikan KLIA sebagai satu hab penerbangan yang utama, bukan sahaja sebagai sebuah lapangan terbang.

“Taman Aero Selangor ini juga berupaya menarik pelaburan berimpak tinggi dengan penyediaan kemudahan bekalan pembuatan dan teknologi aeroangkasa kepada pelabur,” katanya.

Beliau ditemui ketika merasmikan projek SAP di KLIA Aeropolis, di sini. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut menyempurnakan majlis pecah tanah.

[caption id="attachment_704414" align="alignnone" width="888"] Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik pecah tanah perasmian pada Majlis Pelancaran Selangor Aero Park @KLIA Aeropolis di Selangor Aero Park, Sepang pada 5 June 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Loke menambah SAP yang merupakan hasil kerjasama antara Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan menjadi zon industri khusus yang menyasarkan syarikat dalam bidang pembuatan dan rantaian bekalan berkaitan aeroangkasa.

“Ia termasuk pembuatan komponen pesawat dan teknologi berkaitan, serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” ujarnya lagi.

SAP merupakan aspirasi Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 untuk menjana pendapatan tahunan sebanyak RM55.2 bilion dalam sektor aeroangkasa.

Meliputi kawasan seluas kira-kira 600 ekar dalam KLIA Aeropolis, taman tersebut mempunyai potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.3 bilion.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.