AGENDA

Bomba kesan 'Gemuk', remaja OKU hilang ketika cari lembu

5 Jun 2025, 2:46 PM
Bomba kesan 'Gemuk', remaja OKU hilang ketika cari lembu

MELAKA, 5 JUN: Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dikhuatiri sesat selepas dipercayai keluar mencari lembu yang hilang di dalam hutan di Kampung Permatang Pasir, di sini petang semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata usaha mencari Muhamad Aidil Asyraf Fadli,15, digerakkan sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.54 malam tadi.

"Pencarian dilakukan di sekitar kawasan kandang lembu dan turut dibantu pasukan polis serta orang awam hingga 1.35 pagi tadi sebelum disambung pada 7 pagi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Akhbar Abdol Karim dengan dibantu enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu.

Setakat 12 tengah hari, katanya pasukan operasi belum menemukan sebarang petunjuk berkaitan kehilangan remaja itu.

Ibu remaja itu, Siti Norehan Azhar, 38, berkata anak kedua daripada enam beradik yang mesra disapa 'Gemuk' itu disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah selepas menjalankan rutin hariannya menjaga 13 ekor lembu milik bapa saudaranya.

Norehan berkata setiap hari lepas sekolah, Muhamad Aidil Asyraf akan menguruskan lembu dan pulang ke rumah sekitar 7 malam.

"Selepas 8 malam tadi, saya mula rasa pelik dan tidak sedap hati kerana Muhamad Aidil Asyraf masih tidak pulang. Sepupunya keluar mencarinya serta melaungkan azan di sekitar kawasan kandang.

"Kira-kira 10 malam, kami menemukan lembu yang hilang di kolam terbiar di hutan berhampiran namun Aidil (Muhamad Aidil Asyraf) masih tidak kelihatan,” katanya yang yakin anaknya tidak pergi jauh kerana remaja itu tidak suka melepak atau keluar bersama rakan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619