AGENDA

Kadar kelahiran Jepun cecah paras terendah, terus menurun sejak sembilan tahun

4 Jun 2025, 8:23 PM
Kadar kelahiran Jepun cecah paras terendah, terus menurun sejak sembilan tahun

TOKYO, 4 JUN: Jumlah kelahiran di Jepun pada 2024 jatuh di bawah 700,000 buat kali pertama, susut 5.7 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 686,061, menurut data kerajaan yang diumumkan pada Rabu, sekali gus menyerlahkan trend berterusan perkahwinan dan kelahiran lewat, lapor Kyodo News.

Kadar kesuburan keseluruhan Jepun - iaitu purata bilangan anak yang dijangka dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya - turut merosot ke paras terendah baharu 1.15 berbanding 1.20 pada 2023, menurut Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun.

Kedua-dua angka kelahiran dan kadar kesuburan menurun untuk tahun kesembilan berturut-turut. Kadar penurunan kelahiran di Jepun kini berada 15 tahun lebih awal daripada unjuran kerajaan.

Angka tahunan itu tidak termasuk bayi yang dilahirkan oleh warga asing.

Bilangan perkahwinan - faktor utama yang mempengaruhi trend kelahiran masa depan - meningkat buat kali pertama dalam tempoh dua tahun kepada 485,063 pada 2024, naik sebanyak 10,322 berbanding tahun sebelumnya.

Sebanyak 1,605,298 kematian dilaporkan, jumlah tertinggi sejak era pascaperang, manakala penurunan semula jadi (iaitu perbezaan antara kematian dan kelahiran) mencecah rekod 919,237 menandakan penurunan untuk tahun ke-18 berturut-turut.

Kadar kelahiran di Jepun telah menurun sejak kemuncaknya semasa gelombang kedua kelahiran pada 1973, apabila sekitar 2.09 juta kelahiran direkodkan. Angka itu jatuh di bawah sejuta pada 2016 dan di bawah 800,000 pada 2022.

Institut Penyelidikan Kependudukan dan Keselamatan Sosial Kebangsaan Jepun sebelum ini mengunjurkan angka kelahiran hanya akan jatuh ke julat 680,000 menjelang 2039.

Mengikut wilayah, Tokyo merekodkan kadar kesuburan terendah pada paras 0.96, diikuti Miyagi (1.00) dan Hokkaido (1.01). Okinawa di selatan Jepun mencatatkan kadar tertinggi iaitu 1.54, diikuti Fukui pada 1.46.

- BERNAMA-KYODO

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619