BERITA UTAMA

Putra Heights: Bantuan sewa hingga setahun bagi rumah rosak sepenuhnya

4 Jun 2025, 12:00 PM
Putra Heights: Bantuan sewa hingga setahun bagi rumah rosak sepenuhnya
Putra Heights: Bantuan sewa hingga setahun bagi rumah rosak sepenuhnya

SHAH ALAM, 4 JUN: Bantuan pembiayaan sewa rumah kepada mangsa insiden letupan gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April bakal dilanjutkan sehingga setahun, kata EXCO perumahan.

Datuk Borhan Aman Shah menjelaskan bantuan berterusan sebanyak RM2,000 sebulan itu bagi memastikan mangsa mendapat tempat perlindungan sewajarnya sehingga kediaman mereka siap dibaiki sepenuhnya.

“Untuk yang rosak sebahagian, bantuan juga akan diteruskan sehingga rumah mereka siap. Mungkin perlukan sehingga tujuh, lapan bulan. Rumah rosak sedikit dan siap dibaiki, bantuan akan dihentikan selepas mereka boleh masuk rumah.

“Jadi kita akan lihat setiap proses pembaikan semua rumah untuk mudahkan pemberian bantuan. Secara keseluruhan, dianggarkan lebih RM4 juta digunakan untuk biaya sewaan rumah mangsa,” katanya kepada Media Selangor.

[caption id="attachment_700160" align="aligncenter" width="703"] EXCO Perumahan dan Kebudayan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas Program Anti Rasuah Key Communicator dan Wira Anti Rasuah di Masjid At Toyyibin Kampung Endah, Kuala Langat pada 8 Mei 2025. FOTO HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Menurut Borhan, seramai 313 mangsa menerima bantuan sewa rumah selama tiga bulan setakat ini dan baki selebihnya akan diserahkan secara berperingkat dalam masa terdekat.

Beliau menambah lebih 100 mangsa belum menerima sumbangan berikutan masalah dokumen, antaranya mangsa menggunakan akaun bank orang lain, yang perlu disahkan terlebih dahulu.

“Kerajaan Negeri akan terus membantu mangsa untuk pastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Pada kejadian pagi 2 Syawal, kebakaran saluran gas milik Petronas menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kejadian turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi selain lebih 400 kediaman penduduk sekitar rosak.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619