AGENDA

Rezeki cuaca panas, jualan tembikai raih sambutan luar biasa

4 Jun 2025, 11:21 AM
Rezeki cuaca panas, jualan tembikai raih sambutan luar biasa

PASIR PUTEH, 4 JUN: Cuaca panas yang melanda negara sejak beberapa minggu kebelakangan ini bukan sahaja membuatkan rakyat mudah dahaga, malah turut melonjakkan permintaan terhadap buah tembikai sehingga sekali ganda di Kelantan.

Peniaga buah di Kampung Padang Pak Omar, Selising, Yushairan Hashim, 33, berkata tembikai kini menjadi pilihan utama pelanggan yang ingin melegakan tekak, meskipun harganya mencecah RM3.50 sekilogram.

“Sejak tiga minggu lepas, sambutan terhadap tembikai sangat luar biasa di cawangan kedua gerai kami di sini, mengatasi permintaan buah-buahan lain. Disebabkan itu, saya menambah stok hingga 15 metrik tan untuk beberapa hari jualan bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Untuk memastikan bekalan tidak terputus, beliau mendapatkan tembikai dari Johor, Perak dan beberapa negeri lain memandangkan hasil tuaian di Kelantan sudah habis.

Yushairan menjangkakan permintaan tinggi terhadap tembikai akan berterusan sepanjang musim panas yang dijangka berakhir sekitar September.

“Bagi peniaga tembikai, ini tempoh yang amat dinantikan. Keuntungan lebih baik pada musim ini dapat menampung kerugian semasa tempoh lambakan dan kejatuhan harga sebelum ini,” katanya yang memulakan perniagaan buah-buahan di Kok Lanas tiga tahun lepas.

Sementara itu, seorang pekerja di gerai sama, Maziaton Abdullah, 52, berkata beliau tidak menang tangan melayan pelanggan yang mula datang seawal 8 pagi.

“Musim cuti sekolah yang dipenuhi majlis kenduri kahwin juga menyumbang kepada lonjakan jualan. Ada pelanggan beli beratus kilogram tembikai untuk majlis mereka,” katanya.

Maziaton berkata tembikai menjadi pilihan utama kerana isinya yang manis dan sejuk, sesuai untuk menyejukkan badan dalam cuaca yang mencecah suhu tinggi.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan enam daerah di tiga negeri berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) susulan suhu harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

Kawasan terlibat ialah Larut, Matang, Kuala Kangsar dan Perak Tengah di Perak; Machang dan Kuala Krai di Kelantan; serta Bandar Baharu di Kedah.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619