AGENDA

Pak Man syukur dibebas awal, isteri anggap kepulangan bermakna di Aidiladha

3 Jun 2025, 10:02 PM
Pak Man syukur dibebas awal, isteri anggap kepulangan bermakna di Aidiladha

KLUANG, 3 JUN: Suasana riuh rendah di Penjara Kluang pagi ini berubah menjadi sayu apabila seorang banduan warga emas tidak dapat menahan sebak selepas terpilih untuk dibebaskan lebih awal melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI sempena Aidiladha.

Pak Man, 73, berkata dia ditahan bagi kesalahan dadah pada Februari lepas, dengan tarikh asal pembebasan ialah Disember tahun ini.

“Saya betul-betul tak sangka (dibebaskan awal) dan pihak penjara memaklumkan pembebasan diawalkan atas beberapa faktor termasuk berkelakuan baik,” katanya ketika ditemui pada Program PBSL Ihsan MADANI- Kepulangan Yang Dinanti bersempena Sambutan Aidiladha 1446H di sini hari ini.

Datuk kepada 14 cucu itu berkata hukuman di Penjara Kluang adalah yang ketiga, selepas dua kali dia dipenjarakan di Melaka.

Pak Man berkata peluang dibebaskan lebih awal menjadikan dia bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan sama, selain lebih teruja menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga di Segamat, Johor.

“Alhamdulillah, kali ini saya dapat beraya dengan mereka. Syukur sangat-sangat. Cukuplah tiga kali... saya tidak mahu buat (kesalahan) lagi. Semasa dalam penjara saya rindu sangat keluarga, lebih-lebih lagi pada Aidilfitri lepas. Semasa itu, saya paling rindu rendang masakan isteri,” katanya.

Sementara itu, isteri Pak Man yang dikenali sebagai Mak Nab, 60, menyifatkan kepulangan suami sebagai hadiah paling berharga, terutamanya dia kini berjuang melawan penyakit buah pinggang tahap empat.

“Saya tak minta banyak... cukup dia tidak ulang kesilapan lepas. Untuk raya kali ini, semua enam anak juga sudah balik kampung,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Kluang Penolong Komisioner Penjara Jomison Gondikit berkata sebanyak 72 banduan termasuk tiga wanita dipilih untuk pelepasan PBSL kali ini, dengan pemilihan dibuat secara teliti termasuk menilai aspek disiplin semasa dalam tahanan.

“Program ini bukan hanya pelepasan bersyarat, tetapi simbol kasih sayang, harapan dan peluang kedua kepada mereka yang benar-benar menunjukkan keinsafan serta perubahan positif,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619