MINA, 3 JUN: Sistem penjagaan kesihatan Arab Saudi terus menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada jemaah semasa musim Haji 1446 Hijrah, dengan jumlah keseluruhan perkhidmatan kesihatan yang diberikan sehingga 6 Zulhijah melebihi 91,000, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Usaha ini sebahagian inisiatif bersama seluruh rangkaian sistem kesihatan untuk menawarkan rawatan perubatan yang berkualiti tinggi dan cekap, selaras dengan matlamat Program Transformasi Sektor Kesihatan dan Program Pengalaman Jemaah di bawah Visi 2030 Arab Saudi.
Kedua-dua program ini bertujuan memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan mudah dan selamat dalam persekitaran bersepadu yang mementingkan kesihatan serta mematuhi piawaian global tertinggi.
Sejak awal musim haji, statistik kesihatan menunjukkan, 51,938 jemaah mendapatkan rawatan di pusat kesihatan utama, 22,486 kes dirawat di jabatan kecemasan manakala 1,069 pesakit menerima rawatan di klinik pesakit luar.
Selain itu, 4,119 pesakit dimasukkan ke hospital, termasuk 1,973 kes yang memerlukan rawatan rapi.
Pasukan perubatan turut berjaya melaksanakan 16 pembedahan jantung terbuka, 145 prosedur kateter jantung (angioplasti) dan mengurus 44 kes keletihan haba dengan cekap.
Sistem penjagaan kesihatan terus mempergiat usaha menyediakan perkhidmatan perubatan yang bersepadu kepada jemaah melalui kesiapsiagaan tinggi dan perancangan yang rapi, demi melindungi kesihatan mereka serta membolehkan ibadah dijalankan dalam suasana yang selamat dan sihat.
-- BERNAMA-SPA