BERITA UTAMA

Air tangan Sultan Ibrahim, cemar duli memasak untuk rakyat jelata

2 Jun 2025, 6:00 PM
Air tangan Sultan Ibrahim, cemar duli memasak untuk rakyat jelata
Air tangan Sultan Ibrahim, cemar duli memasak untuk rakyat jelata

Oleh NADIAH ZAMLUS

Di sebalik raut wajah tegas, tersembunyi sisi peribadi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang cukup mengagumkan.

Seri Paduka memiliki kemahiran memasak pelbagai makanan antaranya menu barat dan Cina. Perkara tersebut turut dikongsi tukang masak peribadi Baginda, Hamdan Dollah yang berkhidmat selama 13 tahun.

Baginda juga gemar berkongsi hobi tersebut di media sosial.

Selain gemarkan masakan Melayu kampung, menu kari daging Jepun paling kerap dimasak Baginda. Dari penyediaan bahan seperti memotong lobak merah dan daging hinggalah gabungan rempah, semuanya dilakukan tanpa kekok.

Menerusi video di TikTok The Royal Johor, Seri Paduka turut dilihat menghidangkan sajian istimewa tersebut kepada tetamu.

"Jangan takut untuk mencuba, kita perlu sentiasa yakin pada diri sendiri. ‘Mood’ yang baik pastinya menghasilkan makanan yang enak,” titah Baginda.

Sultan Ibrahim juga amat teliti dalam pemilihan bahan masakan. Sikap itu dapat dilihat apabila Baginda memasak sekawah gulai nanas. Dedahnya, kesilapan memilih nanas dalam tin mampu membuatkan resipi hidangan tersebut berubah rasa.

Berkongsi hobi sama dengan adinda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim seringkali mencemar duli memasak untuk rakyat.

Ketika wabak Covid-19 melanda negara pada 2020, Baginda berkenan memasak bubur lambuk pada hari pertama Ramadan. Justeru, agihan bubur lambuk Istana Johor diibaratkan sebagai satu tradisi dinanti-nantikan rakyat negeri itu setiap kali menjelang Ramadan.

Kerap kali ada masa terluang, Baginda gemar memasak dalam jumlah yang banyak untuk diberikan kepada petugas di istana.

Sultan Ibrahim juga amat menghargai bakti rakyat Johor yang menjadi sukarelawan di luar negara.

Baginda tersentuh dengan keprihatinan Sabariah Hussein, 78, yang sanggup memasak untuk gelandangan dan mereka yang kurang bernasib baik selama lebih 20 tahun menetap di Montreal, Kanada.

Sabariah juga menubuhkan Yayasan Sister Sabria dan pusat perlindungan wanita “Our Second Home” dengan sebahagian besar dana diperoleh beliau daripada jualan makanan pada hari Jumaat di kawasan masjid di negara itu.

Susulan itu, Baginda menganugerahkan Darjah Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada wanita kelahiran Wadihana, Johor Bahru atas usaha murni tersebut.

"Beliau merupakan contoh insan Islam berperibadi mulia dengan rela hati setiap hari memasak dan membantu menyediakan makanan untuk ratusan insan yang kurang bernasib baik termasuk golongan gelandangan, tanpa mengambil kira (atau menyoal tentang) agama, bangsa atau latar belakang mereka.

"Usaha dan nilai murni yang ditunjukkan beliau patut disanjung dan diteladani," titah Baginda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619