AGENDA

Mesir, Qatar desak gencatan senjata 60 hari demi keamanan Gaza

2 Jun 2025, 10:20 AM
Mesir, Qatar desak gencatan senjata 60 hari demi keamanan Gaza

ISTANBUL, 2 JUN: Mesir dan Qatar pada Ahad menyatakan harapan agar persetujuan dapat dicapai dengan segera berhubung cadangan gencatan senjata sementara selama 60 hari antara Israel dan Hamas, yang akan membuka laluan ke arah gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua negara menggesa semua pihak “agar bertindak dengan penuh tanggungjawab dan menyokong usaha perantara yang berusaha menyelesaikan krisis di Semenanjung Gaza dengan mengembalikan kestabilan dan ketenangan di rantau ini.”

Mesir dan Qatar turut memaklumkan bahawa mereka meneruskan usaha intensif “untuk merapatkan perbezaan pandangan dan menyelesaikan perkara yang menjadi pertikaian bagi mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh utusan Presiden Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff, sekali gus membolehkan rundingan tidak langsung disambung semula berasaskan cadangan tersebut.”

Kedua-duanya juga menyatakan bahawa mereka “berusaha agar gencatan senjata sementara selama 60 hari dapat dicapai dengan segera, yang akan menjadi asas kepada perjanjian gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza.”

Kenyataan itu turut menyebut bahawa langkah ini “akan memudahkan penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan luar biasa di rantau ini, membuka laluan lintasan sempadan dan membolehkan bantuan kemanusiaan serta bantuan kecemasan disalurkan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.”

Kaherah dan Doha turut menegaskan bahawa usaha ini “bertujuan menamatkan peperangan sepenuhnya dan memulakan semula pembinaan semula Semenanjung Gaza selaras dengan pelan yang diluluskan pada sidang kemuncak tergempar Arab di Kaherah pada 4 Mac lalu.”

-BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619